Friday, October 21

[PT3 2014] A Day to Remember

Assalamualaikum dan salam sejahtera rakan-rakan blogger sekalian,

Salam perkenalan saya ucapkan kepada semua yang sudi membaca dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa emas anda di sini. Kali ini, saya bercadang untuk berkongsi satu kenangan yang agak manis yang telah berlaku dalam hidup saya.


Topik: A Day to Remember

Pentaksiran Tingkatan 3 mula diperkenalkan pada tahun 2014. Saya dan rakan-rakan '99 yang lain amat bertuah(?) kerana dapat menduduki peperiksaan ini pada tahun itu. Sejak tingkatan satu, kami dikehendaki membuat tugasan PBS dan kami diberitahu bahawa kami tidak akan menduduki peperiksaan penting pada tingkatan 3. Oleh itu, memang wajar kami semua terkejut setelah mendapat berita bahawa kami perlu menduduki PBSMR yang akhirnya menjadi PT3. Saya menganggap semua itu adalah ujian daripada Allah swt yang menjdikan diri saya lebih kuat dari segi mental dan juga fizikal.

Sebenarnya, bukan itu yang mahu saya kongsikan pada kali ini. Saya ingin menceritakan pengalaman saya semasa mengambil keputusan PT3 pada tahun 2014. Oh ya, kepada sesiapa yang bakal menduduki PT3, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya!


ISNIN, 22/12/2014

     Tibanya aku dan mak di SMK Taman Jasmin 2, Kajang Prima pada awal pagi. Pada awalnya, kami ke pejabat sekolah untuk menguruskan perpindahan kakak ke sekolah lain kerana hal keluarga. Aku berasa  sangat gementar pada waktu itu lagi-lagi sewaktu terlihat guru Bahasa Melayu aku di dalam pejabat. Selepas beberapa minit, aku dan mak turun ke foyer. Pada waktu itu, majlis belum lagi dimulakan. Oleh itu, kami bercadang untuk menunggu. Kemudian, muncul tiga orang rakanku lalu gambar kami berempat diambil oleh mak. Salah seorang daripda mereka mengajak aku turun ke dataran dan kami semua duduk bersama sambil menanti penantian yang penuh dengan debaran.

     Setelah beberapa minit berlalu, seorang guru kauseling atau pengacara majlis yang menjalankan tanggungjwabnya pada waktu itu memberikan arahan kepada seluruh pelajar tingkatan 3, 2014 supaya berbaris mengikut kelas masing-masing. Disebabkan semua pelajar terlalu teruja bertemu rakan-rakan atau tidak sabar untuk mengetahui keputusan masing-masing, arahan guru tadi tidak dipatuhi. Namun, setelah beberapa kali arahan diberikan, para pelajar akhirnya berbaris. Masih terdapat suara sumbang yang menggangu majlis rasmi itu.

     Majlis kini dimulakan dengan ucapan pendahuluan dan doa serta diikuti dengan ucapan daripada Puan pengetua. Beliau memperkenalkan kepada kami GPK Pentadbiran yang baru lalu memberitahu bahawa tiada seorang pun pelajar yang mendapat semua ‘A’ dalam PT3. Beliau berasa kecewa tetapi faham kerana peperiksaan PT3 ini masih baru dan murid-murid masih tidak faham apa yang harus mereka jawab dalam kertas peperiksaan. Setelah aku mendengar perkara itu, hatiku berasa sebak. Aku tidak dapat mengharumkan nama sekolah. Selaku pelajar harapan sekolah, aku berasa sedih kerana telah menghancurkan harapan guru-guru yang banyak berjasa kepadaku. 

     Aku mula mengipas-ngipaskan diri supaya tidak mengalirkan air mata. Sejujurnya, aku amat dikenali sebagai seorang yang tidak mempunyai perasaan tetapi sikapku berubah pada tahun itu. Aku selalu menangis walaupun kerana hal kecil. Mungkin kerana aku berasa tertekan. Selepas itu, Puan pengetua meneruskan lagi dan berkata terdapat seorang pelajar sahaja yang mendapat 9A 1C dan 2 orang mendapat 8A. Pada waktu itu, hatiku terdetik lalu mataku berair. Aku betul-betul berharap bahawa akulah orang yang dimaksudkan oleh beliau. Aku bertambah sedih kerana 1C yang disebutkan. Aku teringat sebelum sekolah diumumkan cuti, semua pelajar Tingkatan 3 sudah mengetahui markah BM(bertulis), BI(bertulis), MT, KHB, SEJ, SN dan aku sudah tahu bahawa aku mendapat A bagi semua subjek berikut kecuali SN kerana aku hanya memperoleh 60 markah setelah dipilih secara rawak dan ditanda serta ditolakkan 10 markah oleh pihak atasan. Ucapan diteruskan lagi oleh beliau namun ucapan itu diibaratkan masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan aku kerana aku hanya memikirkan keputusan PT3.

     Terdapat meja-meja yang dilebelkan mengikut kelas masing-masing tersusun di foyer dan semua guru kelas sudah duduk mengikut label kelas masing-masing. Aku mencari gerangan guru kelasku, Puan Zurina namun tidak pula kelihatan malah guru lain yang duduk di meja yang berlebel nama kelasku, 3 Ibnu Khaldun. Guru tersebut mula membelek-belek kertas di tangannya dan aku amat yakin itu ialah keputusan PT3 kelasku. Mataku tidak lepas daripada guru itu. Ketika dia sedang membelek-belek keputusan di tangannya, aku melihat beliau berhenti dan asyik memerhatikan satu kertas lalu dia menunjukkannya kepada guru di sebelahnya. Aku yang sedang duduk di dataran mula berpeluh sejuk dengan reaksi guru itu. Hatiku kuat merasakan bahawa guru itu sedang melihat kertas yang mempunyai keputusan terbaik. Guru tadi mula bangun daripada tempat duduknya untuk mendapatkan guru Sains aku dan kelihatan rancak perbualan antara mereka. Guru Sainsku mula memandang ke arahku dan aku cepat mengalihkan pandangan itu.

     Ucapan dipendekkan dan seorang guru mula menyuruh pelajar bangun dan pergi ke meja kelas masing-masing. Aku yang berada di kelas kedua mula bangun setelah pelajar kelas pertama sudah menuju ke meja kelas mereka. Seorang rakanku menyuruh aku ke hadapan untuk mengambil keputusan dahulu tetapi aku menolaknya. Realitinya, aku belum bersedia dan tidak yakin. Debaran mula menjadi lebih tinggi dan air mataku mula mengalir walaupun berkali-kali aku cuba menahannya. Mak mula mendapatkan aku dan mengatakan bahawa dia tidak kisah akan keputusan aku. Air mataku yang mengalir tadi mula dilapkan menggunakan lengan bajuku. 

     Barisan kelasku makin lama menjadi makin sedikit dan kini telah tiba giliranku. Mak aku sudah berada di belakang guru di hadapanku untuk mengambil gambar. Setelah menarik nafas yang panjang, Guru Sains aku mengucapkan tahniah kepadaku dan mengatakan bahawa aku merupakan pelajar terbaik pada tahun itu. Aku berasa terkejut dan tidak tahu apa reaksi yang harus aku bagi. Namun setelah diarahkan untuk menanda tangan, aku berbuat demikian dan mula bersalaman dengan dua orang guru yang berada di hadapanku. Air mataku mengalir semula dan aku segera beredar dari situ untuk mendapatkan mak. Dia juga menangis bersamaku setelah aku menunjukkan keputusan aku lalu menghubungi abah yang tidak dapat hadir walaupun sudah aku ingatkan berkali-kali. Keluargaku yang lain juga diberitahu mengenai berita gembira ini. 

Aku yang masih lagi terkejut, hanya menangis dan tiada kata-kata yang dapat keluar daripada mulutku. Mak menyuruhku bercakap dengan abah di telefon tetapi aku tidak dapat berkata apa-apa kerana aku masih dalam tangisan lalu aku mengembalikan telefon kepada mak semula. Kemudian, rakan-rakanku mula menghampiriku lalu aku tunjukkan slip keputusanku seperti yang diarahkan. Mereka mengucapkan tahniah namun aku hanya mengalirkan air mata yang tiada tanda untuk berhenti. Selepas itu, seorang lagi rakanku menghampiriku dan mula memelukku serta mengucapkan tahniah kepadaku. Setelah majlis tamat, aku berjumpa dengan semua guru yang telah mengajarku lalu bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Seorang guru menyuruh aku menyemak semua kertas Sains kerana aku mendapat A semasa percubaan tetapi aku memilih untuk menerima keputusan sedia ada kerana aku percaya pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Konklusinya, aku tidak pasti jika aku gembira atau sedih dengan keputusan yang diperoleh. Aku gembira kerana aku dapat menaikkan nama 3 Ibnu Khaldun yang sentiasa dipandang serong oleh segelintir pihak. Aku juga gembira kerana mendapat A dalam lisan BM dan BI walaupun aku bukanlah seorang yang suka bercakap. Aku sedih kerana guru Sains berada di hadapanku sewaktu aku mengambil keputusan disebabkan aku tidak dapat memberikannya 'A' sedangkan aku dapat memberikannya kepada guru-guru subjek lain. Aku juga sedih kerana abah tidak dapat hadir pada hari itu untuk berkongsi saat manis bersamaku dan mak.

[TAMAT]


No comments:

Post a Comment